Sepasang suami isteri berusia 51 dan 19 tahun, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas tuduhan mencuri pakaian di Kedai Washupp Dobi di Simpang Empat, di sini pada 4 November lalu.

Tertuduh, Muhammad Razaidi Ishak dan isteri, Nor Fardiana Zainal bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Ketika pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Johari Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka secara bersama dituduh mencuri pakaian milik seorang warga Thailand, Mahwee Duemalee di kedai layan diri berkenan, pada 6.30 pagi.


Muhammad Razaidi yang bekerja sendiri dengan pendapatan cuma RM800 juga memberitahu mahkamah, bahawa Nor Fardiana merupakan isteri kedua dan tidak bekerja kerana menjaga madunya yang menderita kencing manis.

Atas kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum maksimum tujuh tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, mereka masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad.