JOHOR BAHRU: Seorang pekerja swasta dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan dalam operasi bersepadu di daerah Batu Pahat, pada Rabu lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, lelaki berusia lingkungan antara 45 hingga 50 tahun itu mendakwa dirinya berstatus 'menteri' dalam kelompok ajaran sesat itu.

"Lelaki terbabit ditahan pada jam 7.15 malam di kediamannya ketika operasi khas Ops Milab (Millah Abraham/Ibrahim) yang dijalankan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Sebutan kes bagi individu terbabit telah dijalankan di Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat pada Khamis dan perbicaraannya ditetapkan pada 24 September depan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menggesa orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang ajaran agama yang mencurigakan.

"Kerajaan Johor akan kekal membanteras semua jenis ajaran sesat daripada berleluasa di negeri ini.

"Segala kekuatan enakmen dan perundangan yang berkuatkuasa akan digunakan bagi tujuan tersebut," katanya. -- Sinar Harian