KUALA LUMPUR: “Jadilah manusia berguna, insaf dan jalani kehidupan dengan baik selepas menjalani hukuman penjara dan jangan ulang kesalahan sama”.

Demikian kata Hakim, Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, sebelum menjatuhi Muhammad Wan Azhar Azman, 20, hukuman penjara 10 tahun atas pertuduhan pertama, cubaan membunuh seorang lelaki dan empat tahun jel bagi kes mencuri kereta Honda Civic.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh tangkap pada 24 Oktober lalu.

Hakim ini berkata, tindakan yang dilakukan bekas pekerja restoran makanan segera tersebut sangat serius iaitu cubaan membunuh dengan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Katanya, berdasarkan fakta kes, mangsa terpaksa menjalani rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan menerima rawatan yang lama.

Beliau berkata, sekiranya mangsa meninggal dunia, tertuduh boleh didakwa atas tuduhan membunuh.

“Mahkamah mengambil kira kesalahan ini perlu diberikan pertimbangan sewajarnya sebagai syarat kepada masyarakat luar bahawa kes seperti ini tidak boleh diberikan toleransi yang ringan.

“Oleh itu, kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan tertuduh,” kata Izralizam.

Pada 1 November lalu, Muhammad Wan Azhar mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri kereta sewa jenis Honda Civic dan cuba membunuh rakan kongsi pemilik kenderaan itu.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan Isnin untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki bujang itu didakwa mencuri kereta jenis Honda Civic kepunyaan pemilik kereta sewa, D Joshua Jeyaseelan, 30, di lampu isyarat Lebuh Perdana Timur, Presint 15, Putrajaya, pada jam 3.40 hingga 4 petang, 23 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kenderaan secara berbahaya sehingga menyebabkan rakan kongsi pemilik kereta sewa iaitu Mohamed Jalil Iskandar, 28, berpaut pada bonet hadapan kenderaan itu sebelum tercampak dan mengalami kecederaan parah.

Sedangkan tertuduh sedar perbuatan itu boleh menyebabkan kematian pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Kes ini dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mengikut fakta kes, sehari sebelum kejadian, Joshua telah menyewakan keretanya kepada teman wanita tertuduh, selama sehari.

Selepas tamat tempoh sewaan, Joshua selaku pengadu menghubungi wanita itu, namun gagal.

Berdasarkan penjejak lokasi, pengadu mendapati kereta itu berada di Presint Diplomatik, Putrajaya maka, Joshua dan rakannya, Mohamed Jalil ke tempat itu namun mendapati nombor pendaftaran kereta berkenaan menggunakan nombor berbeza.

Mohamed Jalil kemudian meminta tertuduh memberhentikan kereta namun dia mengundurkan kenderaan kemudian cuba melanggar mangsa, sehingga menyebabkannya melompat ke atas bonet kereta.

Rakan pengadu kemudian tercampak ke jalan selepas tertuduh memandu kenderaan itu beberapa kilometer kemudian.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman penjara ringan daripada tarikh tangkapan dengan alasan masih muda dan mempunyai tanggungjawab.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami masalah untuk berjalan sehingga ke hari ini.

“Ekoran kemalangan itu, dia ditempatkan di ICU selama lima hari dan menerima rawatan selama tiga minggu.

“Tindakan tertuduh ingin melarikan kereta dan enggan membayar sewa untuk kepentingan sendiri, maka hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan adalah wajar dikenakan terhadap tertuduh,” katanya. -- Sinar Harian