AYER KEROH: Seorang pekerja pusat hiburan warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, kerana mencuri seluar dalam jirannya.

Tertuduh Hossain Md Iqbal, 32, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam bernilai RM5 milik seorang wanita berusia 57 tahun di sebuah rumah di Taman Hilir Kota 1, Jalan Merdeka di sini, kira-kira jam 3.30 petang, 7 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pengadu mendapati sehelai pakaian dalam miliknya yang dijemur di hadapan rumah telah hilang.

Pengadu memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri berkenaan sebelum rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati warga asing yang dikenali telah mencuri pakaian dalamnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara, mengambil kira kegusaran masyarakat sekiranya dia kembali ke kawasan berkenaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda yang rendah dikenakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dipenjara tiga bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 12 Jun lalu.