Akhirnya, Presiden Seniman, Zed Zaidi membuka mulut menjawab isu berkaitan jemputan penyanyi antarabangsa Korea Psy ke majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan di Pulau Pinang pada 11 Februari depan.

Memberikan kenyataannya menerusi akaun Twitter miliknya di @rozaidijamil, pelakon itu mengakui dia bersama pasukannya telah pun menjalankan siasatan terhadap proses kemasukan Psy ke negara ini yang telah dilakukan berlandaskan undang-undang negara.

Namun demikian, Zed Zaidi yang sebelum ini cukup lantang memperjuangkan nasib artis tempatan lebih bersetuju sekiranya peluang tersebut diberikan kepada artis tempatan.

Penghibur tempatan rata-rata mempersoalkan jumlah wang yang digunakan untuk membayar Psy yang dikatakan hanya akan mempersembahkan sebuah lagu di majlis tersebut.

Tambah Zed Zaidi lagi, kemasukan Psy yang cukup popular menerusi lagu Gangnam Style itu telah dibiayai oleh sebuah syarikat tempatan dan bukannya wang rakyat.

Kenyataan ini sekaligus menolak desas-desus yang tersebar di laman sosial yang mengatakan persembahan Psy dibayar menggunakan wang kerajaan.

Beliau juga menafikan usaha yang dilakukan sebagai menyekat peluang artis antarabangsa untuk beraksi di Malaysia, sebaliknya langkah pengawalan diperlukan demi menjaga periuk nasi dan nasib artis tempatan.

Selaku Presiden Seniman, dia turut menyarankan pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan tersebut perlu mengikut landas 1Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”



Nama Psy hangat diperkatakan umum terutamanya di laman sosial apabila penyanyi lagu Gangnam Style itu dikatakan menerima jemputan untuk Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang bakal diadakan di Pulau Pinang.