Lebih RM225 juta kerugian pengguna sepanjang 2016 - NCCC
Wan Syamsul Amly
Ogos 29, 2017 13:22 MYT
Ogos 29, 2017 13:22 MYT
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 48,563 aduan daripada pengguna pada tahun lalu dengan nilai kerugian sebanyak RM255,623,706 meliputi 22 sektor perkhidmatan dan perniagaan.
Pengurus Kanan Dasar dan Perundangan NCCC, Shabana Naseer Ahmad berkata ia peningkatan sebanyak 8.6 peratus berbanding 2015 dengan aduan tertinggi diterima untuk sektor e-dagang.
Jelasnya, e-dagang mendahului aduan pengguna apabila ia mencatat jumlah aduan tertinggi iaitu 7,371 aduan dan tertinggi bagi tiga tahun berturut-turut.
"Masalah yang kerap dihadapi oleh pengguna adalah tidak mendapat produk yang dipesan, barang telah dibayar tetapi gagal dihantar kepada pengguna.
"Selepas e-dagang, aduan tertinggi diterima untuk produk pengguna am dan sektor telekomunikasi.
"Sementara dari segi nilai kewangan, aduan yang berkaitan dengan sektor automobil dan auto-bengkel mencatat jumlah kerugian tertinggi iaitu RM79,181,869 (dengan 3,874 jumlah aduan)," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Aduan NCCC, di sini, hari ini.
Turut hadir Eksekutif Dasar dan Perundangan NCCC, Mandeep Singh.
Dalam pada itu, ujar Shabana, aduan-aduan lain yang mempunyai rekod tinggi adalah produk pengguna am sebanyak 6,578 aduan, perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar (5,681).
"Industri pelancongan pula sebanyak 3,458 dengan kebanyakan aduan menunjukkan bahawa perkhidmatan yang diberi semasa dalam perjalanan atau tempat penginapan adalah berbeza dengan apa yang telah dipersetujui pada awalnya.
"Agensi pelancongan ini didakwa sering memberi janji palsu untuk mendapatkan pelanggan dan kemudiannya menutup perniagaan," katanya.
Shabana semasa membentangkan laporan tahunan itu menjelaskan, laporan tahunan itu menjadi platform memaklumkan kepada pengeluar dan peruncit mengenai jumlah aduan yang diterima menurut sektor masing-masing.
"Pengguna yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan telah mendapatkan khidmat NCCC untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Aduan yang diterima akan ditangani oleh pegawai kami.
"Laporan ini bertujuan meningkatkan perlindungan pengguna dengan memastikan pengeluar dan peruncit meningkatkan kualiti dan produk berdasarkan maklum balas yang diterima oleh pengguna," katanya.
Shabana turut menasihatkan pengguna segera membuat aduan dan mengetahui hak masing-masing.
"Pengguna perlu tahu hak mereka dan membuat aduan terhadap masalah yang mereka hadapi. Ia tidak akan berkesan jika pengguna tidak mengetahui hak serta tanggungjawab masing-masing walaupun terdapat banyak undang-undang sedia ada," ujarnya.
NCCC ditubuhkan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) dan Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).
#belian dalam talian
#E-dagang
#kerugian pengguna
#Mandeep Singh
#NCCC
#Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional
#Shabana Naseer Ahmad