KUALA LUMPUR: Lebih 79 peratus rantaian bekalan perisian di Malaysia terdedah kepada serangan siber dalam tempoh 12 bulan lepas berbanding 76 peratus secara purata di peringkat global, menurut penyelidikan oleh BlackBerry Ltd.

Firma perisian Kanada itu melancarkan penyelidikannya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) yang sedang berlangsung di sini hari ini, mendedahkan bahawa hampir 38 peratus organisasi mengambil masa sehingga sebulan untuk pulih daripada serangan itu.

Tinjauan yang dijalankan pada April 2024 oleh Coleman Parkes, susulan pewartaan kerajaan Malaysia terhadap Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) dan pengumuman Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) pada Mei lepas..

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa semikonduktor global dan menekankan keperluan untuk amalan perisian reka bentuk selamat dan peraturan kukuh untuk melindungi rantaian bekalan teknologi maklumat (IT).

Laporan itu menekankan kepentingan kritikal langkah-langkah ini dalam menyokong cita-cita Malaysia dalam sektor seperti pembuatan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Kajian tersebut bertujuan untuk mengenal pasti prosedur semasa bagi menguruskan pelanggaran keselamatan dalam rantaian bekalan perisian.

Ia mendedahkan bahawa hampir satu pertiga daripada responden Malaysia mengenal pasti sistem pengendalian (30 peratus) dan komponen Internet Pelbagai Perkara (IoT)/bersambung (19 peratus) sebagai kawasan paling berisiko, meneybabkan kerugian kewangan ketara (71 peratus), kerosakan reputasi ( 66 peratus) dan kehilangan data (59 peratus) selepas serangan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NASCA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata penemuan daripada kajian itu menyerlahkan betapa kritikalnya Akta Keselamatan Siber 2024 atau Akta 854 yang direka untuk meningkatkan daya tahan siber Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara.

Beliau berkata Malaysia juga berkongsi tanggungjawab global untuk melindungi rantaian bekalan perisian dan memastikan amalan reka bentuk yang selamat menerusi pematuhan lebih baik, penggunaan teknologi serta kemahiran serta inisiatif latihan.

"Ini boleh melindungi infrastruktur utama dengan lebih baik, meningkatkan keyakinan perniagaan dan membantu pertumbuhan ekonomi melalui perdagangan dan kerjasama antarabangsa yang lebih lancar," kata Megat Zuhairy dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Keselamatan Siber BlackBerry, Christine Gadsby pula berkata Malaysia telah meningkatkan langkah pengawalseliaan dan pelaburan dalam kemahiran serta teknologi untuk melindungi infrastruktur kritikal dan industri utama daripada serangan siber.

Beliau berkata sektor yang diedarkan secara meluas seperti pembuatan semikonduktor terus menjadi sasaran menguntungkan bagi pelaku ancaman siber mencari kesan global maksimum dalam iklim geopolitik tidak menentu.

Gadsby mendapati pemimpin teknologi maklumat (IT) Malaysia menunjukkan dalam tinjauan bahawa faktor manusia seperti kekurangan pekerja berkemahiran dan pemahaman teknikal terus memberi cabaran kepada industri.

Bagaimanapun, ia sangat menggalakkan untuk melihat standard yang tinggi untuk menuntut pensijilan pematuhan apabila berurusan dengan pembekal.

"Seiring dengan usaha latihan dan peningkatan kemahiran, teknologi pengesanan dan tindak balas terurus dan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) moden juga boleh menyokong organisasi dengan memantau sebarang ancaman 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, membantu pasukan IT dengan sumber sedikit menangani ancaman yang muncul dalam rantaian bekalan perisian mereka dan menguruskan insiden keselamatan yang kompleks," dia berkata.

Sidang Kemuncak Keselamatan Siber NASCA berlangsung sehingga Khamis ini (1 Ogos) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

-- BERNAMA