KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara dijangka hadir memeriahkan Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023, di sini pada bulan depan. 

Penganjuran karnival tersebut diadakan sempena kejohanan Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang dijadual berlangsung selama lima hari dari 13 hingga 17 Oktober depan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata acara sukan bola sepak merupakan sebahagian daripada identiti kebangsaan yang dapat membantu membina perasaan cinta dan kesetiaan kepada negara.

“Malaysia juga telah berjaya menjalankan pelbagai acara sukan yang merangkumi pelbagai sukan popular seperti badminton, hoki dan lain-lain.

"Ini memberikan peluang kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum untuk bersatu dalam semangat kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu selepas majlis pelancaran Karnival Uniti Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023.

Karnival tersebut, dengan kerjasama strategik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengangkat tema ‘Bola Sepak Menyatukan Kita’.

Turut bekerjasama ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Dua acara awal akan dipertandingkan bagi mempromosikan kehangatan Pesta Bola Merdeka Kuala Lumpur 2023 iaitu perlawanan bola sepak kategori kanak-kanak pada 30 september dan 1 Oktober di Stadium MPAJ, Selangor.

Sementara itu, perlawanan bola sepak amal bersama lagenda bola sepak negara dan selebriti pula dijadual berlangsung di Stadium Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 7 Oktober

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang antaranya ialah acara larian, berbasikal, kejohanan penalti, kejohanan bola sepak jalanan, serta persembahan kebudayaan.

Sewaktu karnival tersebut berlangsung, orang ramai turut berpeluang menyertai aktiviti ‘Stadium Tour’ sambil merakam kenangan bersama Piala Pesta Bola Merdeka.

Paling mengujakan, pasukan Harimau Malaya dijadual menentang India dalam dua perlawanan yang masing-masing berlangsung pada 13 Oktober, dan perlawanan akhir pada 17 Oktober.