Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka, Halyjah Muhammad berkata, pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan butiran berkaitan operasi taska yang tidak berdaftar di negeri itu.
"Kita telah mengatur 'Task Force Putih' bagi tindakan pelaksanaan pemutihan taska yang tidak berdaftar di Melaka dan lebih 10 taska dalam pemerhatian JKM bakal diserbu dalam masa terdekat ini.
"Kita memandang serius operasi taska yang tidak berdaftar dan tidak lagi akan berkompromi dengan pengusaha yang masih ingkar atau berdegil untuk berdaftar," katanya kepada pemberita selepas Op Pemutihan Taska Tidak Berdaftar di Batu Berendam, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, antara faktor menyebabkan masih terdapat pengusaha taska yang enggan mendaftarkan operasi mereka ialah permintaan tinggi daripada ibu bapa selain tidak mahu mengeluarkan belanja lebih bagi menanggung pelbagai kos pendaftaran dengan agensi berkaitan.
Sementara itu, Halyjah berkata, sebanyak 135 taska dan 117 pusat jagaan berdaftar direkodkan di Melaka sehingga kini manakala pada tahun ini sahaja, sebanyak 65 taska dan pusat jagaan dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 serta peraturan-peraturan ditetapkan.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan berkenaan melibatkan penutupan premis perniagaan taska, kompaun, pendakwaan dan pembatalan perakuan pendaftaran.
"Selain itu, kita juga memantau operasi taska yang berdaftar membabitkan aspek menu makanan, petugas dan pengasuh dan tindakan pembatalan perakuan pendaftaran diambil terhadap taska yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.
Terdahulu, pada operasi itu sebuah taska di Taman Ehsan, Batu Berendam dan cawangannya di Bukit Palah, Bukit Baru dikenakan tindakan lak kerana tidak berdaftar.
- BERNAMA