MIRI: Awan tebal serta hujan lebat di beberapa kawasan memberikan cabaran buat pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Miri dalam misi menghantar vaksin dan bekalan makanan ke pedalaman Miri hari ini.

Penerbangan ihsan JPBM itu dilakukan menggunakan pesawat AW139 (9M-BOD) ke empat lokasi iaitu di pedalaman Mulu, Long San, Bario dan Long Bedian seawal jam 10.15 pagi dari Pangkalan Operasi Udara (POU) JPBM Miri.

Komander Pangkalan Operasi Udara (POU) MIRI JPBM, Robert James berkata operasi tersebut melibatkan penghantaran 1,760 vaksin Sinovac ke Klinik Kesihatan (KK) di setiap lokasi dan bakul makanan seberat 731 kilogram juga berjaya dihantar ke Ba’Lai.

“Walau bagaimanapun, dengan kordinasi dan kerjasama yang baik dengan pihak kawalan trafik udara, penerbangan ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan selamat.

“Penerbangan logistik vaksin COVID-19 di empat lokasi Mulu, Long san, Bario dan Long Bedian telah berjaya dilaksanakan selain dihantar dalam tempoh empat jam bermula jam 10.55 pagi sehingga jam 1.11 petang,” katanya dalam satu laporan operasi tersebut pada Jumaat. 

Bekalan vaksin Sinovac tiba di pedalaman Miri.

Penghantaran Vaksin ini turut disertai Ketua JPBM Zon Miri, Law Poh Kiong, Pegawai Operasi Zon Jessbent dan Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Haniff dan Pegawai Farmasi Kesihatan Bahagian Miri, Chai Min Choo.

Bagi penerbangan seterusnya, baki bantuan bakul makanan seberat 2,703 kilogram akan diterbangkan ke Long Sait dan Pa'Tik bermula esok memandangkan keadaan cuaca tidak mengizinkan untuk berlepas dari Miri pada petang ini.

Sementara itu, menerut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) MIRI, Datuk Lee Kim Shin menjelaskan setiap klinik pedalaman yang menerima bekalan vaksin ini mempunyai pegawai perubatan, bekalan elektrik yang stabil dan peti sejuk jenis ‘Top Loading’ untuk penyimpanan vaksin tersebut.

“Namun bagi penduduk yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh mendaftar di lokasi pemberian vaksinasi berkenaan kerana di kawasan luar bandar, pendaftaran boleh dilakukan secara manual dan tidak dapat bergantung sepenuhnya dengan aplikasi Mysejahtera,” jelasnya dalam laporan harian COVID-19 JPBB Miri pada Jumaat.