KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini harus dilihat dari perspektif holistik dan sihat, terutama mengenai kepentingannya kepada sektor perniagaan kedua-dua negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Datuk Rais Hussin.

Beliau berkata Anwar dalam lawatan tiga harinya berjaya mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Dunia Islam, di samping menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman berkaitan perniagaan antara Malaysia dan Arab Saudi, yang telah menunjukkan minat mereka untuk melabur di Malaysia terutamanya dalam beberapa bidang seperti keterjaminan makanan.

"Juga tidak lupa (perbincangan) Wawasan 2030 Arab Saudi, yang membawa kira-kira trilion dolar peluang (melabur) di Arab Saudi," katanya pada program "The Brief" di Bernama TV hari ini.

Merujuk kepada kritikan yang mempersoalkan kewajaran lawatan rasmi Anwar itu Rais berkata, perlu diingat bahawa Anwar berada di negara itu atas undangan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga merupakan Perdana Menteri Arab Saudi.

Justeru katanya kunjungan Anwar itu sememangnya amat dialu-alukan oleh keluarga diraja Arab Saudi itu.

Sementara itu Penganalisis Pengurusan Krisis Nordin Abdullah berkata lawatan itu bertujuan mewujudkan pelaburan dan peluang-peluang strategik ke Malaysia, yang sememangnya diperlukan bagi pertumbuhan pesat ekonomi negara dan pemulihan pasca COVID-19.

Beliau berkata Anwar mengambil tanggungjawab sebagai 'jurujual utama' dalam memacu pertumbuhan negara, menerusi usaha menjalinan hubungan ekonomi yang lebih baik dengan negara dari Timur Tengah itu.

Mengenai lawatan semasa Anwar ke Kemboja, Nordin berkata ia memanfaatkan kekuatan Malaysia untuk membantu Kemboja mengintegrasikan ekonomi global, dan pendekatan memakmurkan negara jiran serantau itu telah terbukti sebagai model pembangunan ekonomi yang sangat baik.

"Langkah seterusnya adalah lawatan ke China, ini destinasi pasaran amat penting bagi banyak produk Malaysia," katanya.

Anwar tiba di Kemboja hari ini untuk lawatan rasmi sehari, sebelum meneruskan lawatan rasminya ke China.

-- BERNAMA