Latihan berkaitan operator bot dan feri khususnya mengenai audit keselamatan terhadap kenderaan air perlu dipertingkat bagi mengelak kemalangan termasuk kebakaran, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata pihaknya sedia memberikan latihan berkenaan agar semua kakitangan sektor berkaitan bersedia menghadapi sebarang jenis kecemasan.

"Saya fikir selepas berlakunya insiden tersebut, seharusnya mana-mana syarikat pengendali feri harus memberi latihan kepada pekerja-pekerja mereka di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) dan kami sedia untuk bekerjasama memberikan tunjuk ajar bagaimana ia harus dilakukan.

"Tindakan sewajarnya akan diambil kepada operator bot dan feri sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994) yang telah ditetapkan," katanya ketika menjadi tetamu Bernama Radio di sini hari ini.

BACA: Feri Langkawi terbakar, 52 penumpang dan 6 kru berjaya diselamatkan

Beliau mengulas insiden kebakaran feri di Langkawi, semalam. Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, seramai 52 penumpang feri Dragon Star 1 berdepan detik cemas apabila feri yang dinaiki terbakar ketika dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Kuala Perlis.

-- BERNAMA