Keterujaan untuk memiliki rumah idaman bagaimanapun bertukar jadi penyesalan apabila rumah yang diharapkan pembeli seperti ‘bayar lain dapat lain’.
Kecewa membuat-buak apabila rumah idaman jadi mimpi ngeri sedangkan syarikat pemajunya memang terkenal sebagai sebuah syarikat yang membina rumah berkualiti.
Tarikan untuk membeli rumah diprojek berkenaan juga adalah kerana yakin dengan reputasi pemajunya.
Ini kenyataan yang perlu dihadapi pembeli rumah di Pangsapuri Harmoni 1, Putra Heights yang menyifatkan kegembiraan untuk memiliki rumah kini bertukar menjadi nasib ‘malang.
Harga rumah hampir mencecah RM300,000 tetapi retaknya merata, parkir umpama kolam ikan, berlumut dan berkeladak.
Kos penyelenggaraan pula RM212 sebulan sementara fasitili yang disediakan seperti tidak setimpal.
Menurut salah seorang penduduk, Mohd Kamil Anuar, kos yang dikenakan terhadap mereka jauh berbeza dari segi manfaat yang diterima, jika dibandingkan dengan projek perumahan lain.
Bukan tidak mengadu sebaliknya sudah beberapa kali aduan dibuat tetapi ia umpama anjing menyalak bukit.
“Kos yang dikenakan jika dibandingkan dengan projek perumahan yang lain, rumah kami antara yang tertinggi kerana tidak ada sebarang fasiliti seperti, surau, dewan, gelanggang sukan… ada juga yang mempunyai kolam renang tapi di sini langsung tiada fasiltiti.
“Kita sebenarnya sudah adakan beberapa mesyuarat dengan pihak pemaju dan kita simpan setiap minit-minit mesyuarat tetapi respons yang diberikan seperti kami ini ‘kilang kicap’ (ala kadar).
“Mereka tidak berikan tempoh yang konkrit untuk atasi masalah dan setiap kali kami mengadu pihak pemaju sering melengah-lengahkan keadaan maka masalah kami pun akhirnya tidak selesai,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Que Raffaeel Che Din pula kecewa dengan lif yang dikatakan sering mengalami kerosakan.
“Lif kalau nak ikutkan masih lagi baru tapi kerap sangat berlaku masalah, dan saya sendiri sudah beberapa kali tersangkut di dalam lif… kadang-kadang kita bawa anak jadi susahla.
“Kawasan parkir memang kerap bertakung, walaupun pihak pemaju ada buat ‘floor trap’ tapi masalah sama tetap berulang… lantai pula berlumut dan ada juga yang dah retak.
“Ada juga kes penduduk yang dah jatuh dan mengalami kecederaan yang agak serius di bahagian muka akibat permukaan lantai tersebut,” katanya.
Sementara itu, penduduk juga menegeluh apabila perumahan yang berkapasiti 1,700 unit manakala dewan yang disediakan pula sekadar cukup memuatkan 10 individu dewasa.
Penghuni mendakwa, semua yang mereka dapat kini tidak sama seperti yang dijanjikan pemaju ketika awal pembinaan dijalankan.
Mendengar kepada keluhan sebahagian besar penduduk di pangsapuri ini, timbul juga persoalan bagaimana projek ini diberikan Sijil Perakuan Kelayakan (CF).
Penduduk dalam masa sama mendakwa pihak pemaju seakan mengambil kesempatan terhadap pembeli untuk mengaut keuntungan walaupun menyedari ia merupakan projek perumahan ‘Rumah Selangorku’.
Apa yang mereka takuti sekarang ialah tempoh jaminan kerosakan atau DLP akan tamat tidak lama lagi.
Sehubungan itu, mereka kini mengharapkan agar pemju tidak ambil sikap lepas tangan dan segera menyelesaikan segala kepincangan yang ada di pangsapuri berkenaan.
Penduduk juga mendakwa, pemaju sudah menutup pintu rundingan.
Saksikan Laporan Khas ‘Beli Lain Dapat Lain’ menerusi AWANI 745 malam ini.
Astro AWANI juga akan mendapatkan reaksi pihak pemaju bagi mendengar reaksi mereka terhadap segala aduan yang disuarakan penduduk.