Laporan akhir kajian komprehensif untuk memperkenalkan rangka kerja Identiti (ID) Digital Nasional dijangka siap pada 30 Jun ini dan saranannya akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Al-Ishsal Ishak berkata kajian yang dijalankan pada 21 Nov lepas akan diselia Pasukan Petugas Kajian ID Digital Nasional selama 30 minggu bagi mengesyorkan model pelaksanaan ID Digital untuk Malaysia.

Pasukan itu, katanya dipengerusikannya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad.

"Kami mengambil pendekatan konsultatif dan kolaboratif terhadap kajian itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam mendapatkan pandangan mereka tentang kemungkinan kes-kes kegunaan bagi platform ID Digital Nasional.

"Ini mustahak untuk memastikan kepentingan pengguna menjadi keutamaan dalam merangka sebuah rangka kerja untuk rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Saranan Pasukan Petugas akan turut mengambil kira aspek-aspek seperti program-program ID Digital sedia ada di samping memanfaatkan kekuatan dan peluang, rangka kerja perundangan sedia ada, keselamatan, privasi dan etika.

"Pada masa kini, oleh sebab teknologi membentuk komponen penting dalam kehidupan kita, keperluan untuk platform ID Digital Nasional yang selamat, terjamin dan terlindung adalah mustahak dan menjadi satu cadangan yang menarik.

"ID Digital Nasional ini bertindak sebagai bukti kelayakan digital yang boleh dipercayai, berperanan sebagai platform untuk pengesahan bagi meningkatkan kemudahan kepada pengguna, menggalakkan keterangkuman, mengurangkan kos capaian kepada perkhidmatan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan berkaitan transaksi secara dalam talian," katanya.

Idea untuk mewujudkan identiti kebangsaan itu diilhamkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada Oktober 2018 dan kajian komprehensif tentang rangka kerja ID Digital Nasional dilakukan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Mei lepas.

Fokus utama kajian tersebut termasuklah analisis unsur tempatan, strategi pelaksanaan, sasaran model operasi, analisis kos, model ekonomi, teknologi dan pembolehdaya dasar dan aspek undang-undang.

Ia juga antara inisiatif kerajaan untuk membolehkan rakyat Malaysia bersedia menerima kebangkitan teknologi digital, selain menjadi satu kaedah canggih untuk mengesahkan identiti seseorang pengguna dalam talian secara selamat, terjamin dan terlindung.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang ID Digital Nasional boleh melayari https://www.youtube.com/watch?v=rLWitDJ8IF0.

-- BERNAMA