KUALA LUMPUR: Tidak semua mangsa serangan seksual, khususnya kaum wanita, apatah lagi kanak-kanak, mempunyai keberanian untuk tampil ke hadapan membuat laporan polis bagi mendapat keadilan.

Bagi mereka, perasaan malu mungkin menebal kerana merasakan apa yang terjadi itu adalah sesuatu yang mengaibkan, dan terdapat juga kes-kes di mana mereka menyalahkan diri sendiri.

Namun, satu lagi golongan yang amat memerlukan bantuan dan sokongan dalam menangani hal sebegini, adalah golongan kurang upaya (OKU), termasuk OKU penglihatan.

Golongan OKU lebih memerlukan bantuan dan sokongan

Atas sebab itu, badan bukan kerajaan Children’s Protection Society (CPS) Kuala Lumpur, bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tampil menganjurkan majlis berbuka puasa meraikan golongan OKU penglihatan dan anak-anak keluarga B40 semalam, yang turut diberi pengisian tentang kesedaran terhadap peningkatan kes serangan seksual.

“Isu penderaan (seksual) kanak-kanak masih jadi cabaran besar yang perlu ditangani semua pihak, baik kerajaan, masyarakat sivil dan komuniti setempat.

"CPS KL komited untuk tingkatkan kesedaran, memberi sokongan dan pastikan setiap kanak-kanak membesar dalam persekitaran selamat serta penuh kasih sayang.

“Majlis ini mengingatkan kita tentang kepentingan usaha kolektif melindungi mereka (OKU penglihatan dan kanak-kanak) daripada sebarang bahaya.

“Dalam kesempatan ini sambil berbuka puasa bersama, mari kita perbaharui azam dan usaha pastikan keselamatan anak-anak kita terjaga,” kata Pengerusi CPS KL Tengku Asra Jehan Tengku Azlan ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

1,000 kes dalam dua bulan pertama 2025, membimbangkan

Bagi Pengarah Projek CPS KL Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman, statistik laporan kes serangan seksual melibatkan wanita dan kanak-kanak cukup membimbangkan, dengan lebih 1,000 laporan diterima hanya dalam dua bulan pertama 2025.

Beliau berkata CPS KL bukan sahaja berperanan sebagai penghubung antara mangsa serangan seksual, termasuk kanak-kanak dan OKU, dan pihak berkuasa, tetapi juga boleh memberi nasihat guaman serta rumah penjagaan sementara bagi mereka yang memerlukan.

“Polis mendedahkan dalam masa dua bulan (Jan dan Feb 2025) lebih 1,000 kes seksual terhadap kanak-kanak dan wanita, tetapi yang kita dengar dalam media dan media sosial mungkin hanya satu atau dua. Kita perlu perbanyakkan lagi usaha meningkatkan kesedaran, biar orang tahu.

“Kita (CPS) nak menjadi penghubung kerana ramai mangsa tak tahu nak pergi mana, mungkin rasa malu. Jadi kita ingin mempermudahkan urusan mereka mereka. Telefon atau mesej kita, kita akan tolong mereka, bawa pergi kepada polis, bawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya,” katanya lagi.

Cukupkah pendidikan seksual di sekolah?

Menyentuh lebih lanjut mengenai tahap kesedaran masyarakat, Naib Presiden CPS KL Nawiza Ariff melihat ada kekurangan signifikan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di peringkat sekolah tentang bahaya serangan seksual.

Tambah beliau, majoriti ibu bapa masih bersikap konservatif dan enggan menerangkan kepada anak-anak mereka tentang elemen-elemen yang menjurus ke arah serangan seksual, seperti bahagian badan yang disentuh dan sebagainya.

Lebih membimbangkan lagi, kata Nawiza, serangan seksual terhadap golongan rentan seperti kanak-kanak dan OKU turut berlaku di rumah, oleh ahli keluarga yang sepatutnya melindungi mereka.

“Di sesetengah rumah, bagi sesetengah keluarga, masalah itu sebenarnya datang dari dalam rumah itu sendiri, seperti anak-anak yang ibu bapa sentiasa sibuk di luar, atau broken family. Ada juga keluarga, yang enggan menyentuh topik ini, tidak dibincangkan secara terbuka.

“Mengejutkan kerana (serangan seksual) berlaku dalam rumah, tetapi budak-budak tak tahu. Jadi kami (CPS) ingin meningkatkan kesedaran, kami merancang untuk bertemu dengan pihak Kementerian Pendidikan, merayu agar diwujudkan subjek berkaitan yang lebih mendalam di sekolah,” katanya lagi.

Jangan dilupakan golongan OKU penglihatan

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MAB Datuk George Thomas berkata, sesi soal jawab oleh Inspektor Amarjit Kaur Mor Singh dari Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) dan hadirin OKU penglihatan menunjukkan ada dalam kalangan hadirin yang takut untuk tampil ke hadapan kerana kurang pengetahuan.

“Dalam sesi soal jawab, jelas ada di kalangan mereka (OKU penglihatan) yang enggan tampil ke balai. Mungkin mereka merasakan kekurangan fizikal mereka menyebabkan keterangan mereka tidak begitu kukuh, dan memerlukan pihak ketiga untuk membuat laporan.

“Saya yakin CPS boleh menjadi rakan strategik MAB. Lakukan kerjasama dengan OKU penglihatan dan buka kes kalau ada. Dengan program kesedaran bersama CPS, kita boleh beri penerangan tentang langkah menangani kes sebegini, dan mengurangkan rasa takut di kalangan mereka,” katanya lagi.