Kesemua lapangan terbang utama hari ini beroperasi seperti biasa dan semua perjalanan penerbangan mengikut jadual yang ditetapkan, menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Jurucakap MAHB Ahmad Shahreen Ramli berkata operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang berjalan lancar dan mengikut jadual.

"Setakat 3 petang ini, tiada sebarang arahan penerbangan untuk berpatah balik atau tergendala dan kami berharap sehingga tengah malam ini semua operasi berjalan lancar," katanya ketika dihubungi oleh Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Shahreen berkata operasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berjalan dengan lancar dan tidak mengalami sebarang masalah berkaitan jerebu.

Bagaimanapun, MAHB menasihatkan penumpang agar menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat perjalanan terkini dari semasa ke semasa.