MELAKA: Lapan penjara di negara ini yang dikenal pasti berusia lebih 100 tahun dan mempunyai bangunan lama serta usang dalam perancangan untuk digantikan dengan bangunan baharu secara berperingkat.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata usaha itu merupakan satu keperluan bagi menggantikan 'bucket system' yang tidak relevan.

"Setakat ini, Penjara Pulau Pinang paling tua diikuti antaranya Taiping, Batu Gajah, Muar, Alor Setar dan Seremban dan kesemuanya masih menggunakan 'bucket system'.

"Berdasarkan hala tuju kita, Jabatan Penjara ke arah menggantikan penjara usang ini kepada penjara baharu dan kita selalunya menerima rungutan khususnya daripada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pameran Memoir Tuan Husain Beladar di Muzium Penjara Malaysia di Banda Hilir yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Bagaimanapun, Ajidin berkata usaha menaik taraf kesemua bangunan penjara berkenaan dijangka mengambil masa agak panjang kerana perlu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia akan datang.

Sementara itu, beliau berkata warga Melaka berpeluang masuk percuma ke Muzium Penjara Malaysia bermula 24 Ogos hingga 31 Dis depan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, manakala pada 24 dan 25 Ogos turut dibuka secara percuma kepada semua pengunjung termasuk pelancong asing sempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka.

"Dalam tempoh 1 Jan hingga 18 Ogos lepas, sebanyak 98,000 pengunjung direkodkan melawat ke muzium berkenaan dengan kutipan jualan tiket kira-kira RM220,000 dan hasil berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan sebagai sumbangan daripada Jabatan Penjara.

"Jumlah pengunjung yang melawat ke muzium ini meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu kira-kira 45,000 orang, sekali gus membuktikan ia menjadi satu daripada destinasi pilihan pelancong khususnya yang ingin mengetahui secara dekat tentang institusi kepenjaraan Malaysia," katanya.

Selain itu, Ajidin berkata pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan di muzium itu bagi meningkatkan ekonomi sekitar khususnya sektor pelancongan dan pendidikan agar dapat memberi kesedaran serta pendedahan kepada orang awam termasuk memupuk amalan murni dalam kalangan pengunjung.

-- BERNAMA