GEORGE TOWN: Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah kedai di Pulau Tikus, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Supt Lee Swee Sake berkata semua mereka yang berumur 22 hingga 58 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan sekitar kawasan berkenaan, dan polis sedang memburu seorang suspek utama kes itu yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan adalah empat beranak yang merupakan anggota keluarga pemilik kedai itu dan juga seorang pekerja kedai, manakala tiga lagi adalah pekerja sebuah bengkel motosikal yang terletak bersebelahan kedai tersebut.

"Warga Pakistan itu dipercayai bekerja di kedai berkenaan sebelum tiba-tiba seorang lelaki yang juga suspek masuk dan menyerangnya menggunakan skru driver sebelum melarikan diri, polis sedang kesan suspek utama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lee berkata kesemua yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Dalam kejadian 5 petang semalam lelaki warga Pakistan berumur 48 tahun itu dibawa ke sebuah klinik swasta di sini untuk menerima rawatan akibat kecederaan parah, namun dia meninggal dunia ketika menerima rawatan sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

-- BERNAMA