Allahyarham Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut dirempuh oleh kereta dinaiki penjenayah di Bagan Serai Isnin lepas, disifatkan sebagai seorang anggota polis yang berani dan gigih dalam menjalankan tugas.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Tan Sri Lee Lam Thye yang sedih dengan kematian Mohd Azuan, 25, berkata Allahyarham juga menjadi contoh kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sanggup menggadaikan nyawa demi menjaga keamanan negara.

"Saya bagi pihak YPJM amat terharu dengan nasib yang menimpa Mohd Azuan dan mengucapkan takziah kepada keluarganya. YPMJ akan menghulurkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dua buah mesin hemodialisis bernilai RM90,000 sumbangan Yayasan SP Setia kepada Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra di sini.

Sumbangan disampaikan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Lee juga yakin PDRM mampu memberkas penjenayah terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan dengan secepat mungkin.

Dalam insiden 1.15 tengah hari itu, Mohd Azuan, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dirempuh dari arah belakang oleh kereta Toyota Wish dinaiki tiga penjenayah di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu, Perak.

Penjenayah tersebut sebelum itu dipercayai menyamun sebuah van rokok di Jalan Bagan Serai-Alor Pongsu.

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kes bunuh.