KUALA LUMPUR:Penangguhan bayaran balik pinjaman ditawarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga Disember depan akan memberi manfaat kepada 262,000 ahli Sahabat di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, penangguhan itu berkuatkuasa segera bagi tempoh lima minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember 2020 dengan proses penangguhan bayaran sebanyak tiga kali dan moratorium tambahan maksimum selama satu tahun.

Jelasnya, kesan penangguhan itu memberi kesan langsung kerugian membabitkan RM17.7 juta kepada AIM.

"Sepanjang PKPB, keputusan moratorium ini membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta sehingga tamat tarikh PKPB pada Disember ini.

"Penangguhan bayaran secara automatik ini juga sebagai kemudahan kepada Sahabat AIM terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 dan dibuka sepanjang tahun ini sehingga 2021.

"Ini juga sebahagian dari inisiatif AIM untuk membantu Sahabat bahkan menjadi tanggungjawab bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka terjamin saat tempoh sukar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Bakul Kasih AIM, di Dewan Terbuka Kampung Kaundo Kebatu, Beaufort, Sabah.

SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021 KLIK DI SINI

Turut hadir, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Pembantu Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan dan Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Isnin Aliasnih.

Dalam pada itu, Lajim berkata, permohonan menangguh bayaran balik bagi kali pertama dan kedua tidak akan menjejaskan had pinjaman Sahabat AIM selain tiada caj faedah dikenakan terhadap penangguhan bayaran balik.

"Bagi memudahkan operasi pengendalian perkhidmatan di 92 cawangan AIM di seluruh negara, kesemua pegawai akan berkerja secara dua sesi.

"Sepanjang tempoh PKPB, operasi pejabat berjalan seperti biasa namun dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang bagi memastikan penjarakan sosial di pejabat dapat diamalkan tanpa mengetepikan perkhidmatan ditawarkan.

"Selain itu, bagi memastikan Sahabat mendapat bimbingan perniagaan sewajarnya sepanjang tempoh PKPB, program M8 diketengahkan di setiap negeri. Program ini memerlukan setiap pegawai perkhidmatan yang bertugas untuk bersemuka dan menyampaikan perkhidmatan bimbingan perniagaan," ujarnya.

Selain itu katanya, sepanjang tempoh PKPB, AIM turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan menerusi Program Bakul Kasih AIM yang akan diadakan di setiap negeri.

"Ketika ini, sebanyak 1,500 Bakul Kasih AIM diedarkan di sekitar Sabah bagi membantu meringankan bebanan ditanggung golongan sasaran terjejas akibat pandemik COVID-19.

"AIM akan mempergiatkan lagi program ini bagi membolehkan penyampaian barangan keperluan ini kepada lebih ramai masyarakat di seluruh negara," katanya.