Seramai 17 aktivis mahasiswa yang ditahan polis pada malam Selasa selepas mengadakan protes dengan berkhemah di luar bangunan Parlimen di sini, telah dibebaskan hari ini.

Menurut akaun twitter Kesatuan Mahasiswa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memendekkan tempoh reman dari tiga hari kepada dua hari.

Ia dilaporkan bahawa kumpulan mahasiswa itu, termasuk tiga pelajar wanita ditahan kira-kira 10.30 malam pada 25 Ogos, kerana terlibat dalam protes duduk #LangkahSiswa yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan.


Seramai 17 aktivis mahasiswa yang ditahan polis pada malam Selasa kerana melakukan protes dengan berkhemah di luar bangunan Parlimen di sini, telah dibebaskan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, semua mereka ditahan kira -kira jam 10 malam pada 25 Ogos, selepas enggan bersurai di hadapan bangunan Parlimen.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai polis telah memberikan amaran dan mengarahkan kumpulan tersebut beredar kerana berada kurang 50 meter dari kawasan Parlimen.

"Tindakan mereka menyalahi undang-undang dan ketika tangkapan terdapat kira-kira 25 orang berada di situ (termasuk pemerhati)," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Jelas Munusamy, pihaknya juga telah mengarahkan kepada peserta masuk ke dalam trak polis sendiri dan mereka tidak akan digari.

Bagaimanapun, tambahnya lagi tiada seorang pun dari kalangan peserta itu mengikut arahan.

"Polis mengarahkan peserta untuk naik ke dalam trak, namun mereka enggan menyebabkan beberapa orang terpaksa digari dengan menggunakan pita pengikat," katanya.

Kumpulan yang terdiri daripada 30 mahasiswa berkumpul sejak Ahad lalu mengadakan protes duduk di luar perkarangan Parlimen bagi menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan.

Kumpulan yang menggelar diri mereka Langkah Siswa memulakan protes dengan berarak ketika hujan lebat bermula dari bangunan Bank Negara Malaysia di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur ke bangunan Parlimen.

Mereka kemudiannya berkhemah di luar Parlimen sehinggalah polis menahan mereka pada Selasa malam.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 142(B) dan 124(B) Kanun Keseksaan.

BACA: 17 ditahan reman susulan perhimpunan #LangkahSiswa