LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B di kedudukan 2.5 batu nautika tenggara Pulau Lalang di sini, petang semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, bot Kelas B tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti memukat di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati bot tersebut dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk tekong berusia lingkungan 40 hingga 59 tahun.

"Mereka menggunakan pukat tunda sebagai alat menangkap ikan di kawasan kurang daripada 8.0 batu nautika.

"Pemeriksaan turut menemui 200 kilogram ikan campur dalam bot berkenaan ketika ditahan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, tekong serta kru bot Kelas B itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan serta menggunakan pukat tunda dalam kawasan Zon A.

"Bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia," katanya lagi.

Ujarnya, Maritim Malaysia turut menasihatkan bot-bot nelayan tempatan mematuhi peraturan serta syarat sah lesen dengan tidak menceroboh atau menjalankan aktiviti perikanan di zon yang tidak dibenarkan khususnya di Zon A yang menjadi punca rezeki kepada nelayan tradisional atau pesisir pantai.