BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang di sini yang menjadi tumpuan warga Seberang Perai beriadah, diarah tutup tujuh hari oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah selepas pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata pihaknya akur dengan arahan penutupan itu yang bermula hari ini dan dibuka semula kepada orang ramai Khamis depan.

"Demi keselamatan orang ramai, kami akur dengan arahan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan dibuat bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang.

"PBAPP telah mengarahkan anggota polis bantuan yang ditempatkan di situ agar menghalang kemasukan orang ramai ke empangan itu sepanjang tempoh penutupan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya selain Empangan Mengkuang, SOP sama dikenakan di Empangan Air Hitam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar.

"Mereka yang mengunjungi semua lokasi ini perlu mematuhi arahan antaranya lengkap divaksinasi dan bagi individu berusia 17 tahun ke bawah perlu masuk bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah divaksinasi," katanya.

Terdahulu dalam pemeriksaan itu, KKM mengeluarkan kompaun masing-masing sebanyak RM1,500 kepada 14 pengunjung Empangan Mengkuang kerana melanggar SOP antaranya tidak memakaipelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti riadah.

-- BERNAMA