AYER KEROH: Tindakan seorang pengawal keselamatan melepaskan amarah dengan melanggar anak tirinya secara sengaja, membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.
 
Tertuduh, Ramlan Abdul Karim, 31, dipenjara lima tahun dan denda RM2,000 selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melanggar anak tirinya berusia 10 tahun dengan motosikal yang ditungganginya sehingga menyebabkan kecederaan di kaki dan tangan mangsa.
 

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Kuarters Klinik Desa, Kampung Padang, Melaka pada jam 11.10 malam, 7 Januari lalu.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat.
 
Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dan setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.
 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman keatasnya diringankan dengan alasan mempunyai enam tanggungan termasuk ibu dan bapa selain turut menyesali perbuatannya.
 
Hakim Nariman dalam penghakimannya kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara bermula dari tarikh ditangkap. 
 
Mahkamah turut memerintah tambahan tempoh hukuman penjara dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.