KUALA LUMPUR:Laman sesawang Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini tampil dengan imej segar dan dilengkapi dengan sistem mesra pengguna sesuai dengan peredaran zaman.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, usaha untuk memperbaharui laman web UMS adalah sebahagian daripada perancangan strategik universiti untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pemegang taruh dan masyarakat umum.

“Keperluan untuk menaik taraf laman web rasmi UMS ini menjadi semakin kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Kesannya, aktiviti seharian pelajar dan warga akademik tidak seperti kebiasaan. Mereka amat bergantung dengan sistem penyampaian universiti yang cepat, tepat dan mudah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi UMS Baharu dan saluran Youtube rasmi “UMS Net” di Kota Kinabalu pada Selasa.

Ujar beliau, platform laman web, saluran YouTube serta semua platform media sosial merupakan wadah untuk pihak UMS menyalurkan maklumat universiti terutama kepada semua yang mempunyai akses internet tidak kira di mana mereka berada.

“Ciri terkini di laman web rasmi UMS baharu ialah susun atur maklumat di laman utama yang lebih baik dan menarik.

"Sebagai contoh, tayangan klip video, capaian ke atas maklumat mengenai aktiviti dan kejayaan penyelidikan serta inovasi di UMS,” jelas beliau.

Antara lain ujarnya, platform yang moden itu akan memudahkan pihak pelajar dan warga akademik berkongsi bahan-bahan pembelajaran serta apa-apa maklumat yang berkaitan dengan perkembangan dinamik di universiti berkenaan.

“Selain itu, laman web ini akan memudahkan capaian ke atas maklumat seperti penerbitan jurnal dan buku di UMS, sorotan peristiwa atau berita yang berlaku di UMS serta paparan mengenai kehidupan kampus,” tambah beliau lagi.  

Untuk merasai sendiri pengalaman laman sesawang baharu itu, pengguna boleh melayari  www.ums.edu.my.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang berlangsung di Galeri Majlis Bangunan Canselori UMS pada Selasa.

Majlis pelancaran tersebut turut disiarkan secara langsung di UMS Net dan Facebook UMS Official.