Satu laluan alternatif sedang dibina untuk membolehkan penduduk di kawasan tanah runtuh di Puncak Setiawangsa keluar masuk ke kawasan perumahan mereka untuk mengambil barang keperluan dan harta benda.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi jaminan bahawa keselamatan harta benda penduduk akan sentiasa dijaga kerana polis telah menempatkan anggota serta membuat rondaan 24 jam.

"Apa yang penting ketika ini adalah faktor keselamatan lebih diutamakan dari harta benda. Saya syukur tiada kes kemalangan jiwa, fizikal dan sebagainya berlaku," katanya.

Muhyiddin dan isteri Datin Seri Norainee Abd Rahman yang tiba di bilik gerakan sementara polis di Persiaran Bukit Setiawangsa pada kira-kira 4.30 petang turut meninjau kawasan runtuhan di bahagian bawah yang terletak 70 meter dari bilik gerakan itu sebelum meninjau operasi bilik gerakan itu.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut diberikan taklimat oleh seorang pegawai polis Ibu Pejabat Daerah Sentul dan meninjau pasukan keselamatan lain yang turut bertugas menjaga keadaan di kawasan terbabit termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Muhyiddin kemudian menaiki kenderaan dibawa meninjau dengan lebih dekat kawasan terjejas di Puncak Setiawangsa selama kira-kira 20 minit.