KETIKA orang-orang politik berbeza pendapat mengenai ideologi dan saling menegakkan kebenaran masing-masing, rakyat Malaysia secara umumnya masih lagi utuh perpaduan mereka.

Tanpa mengenal batas kaum, agama dan budaya, baik kaum Cina, Melayu, India, Kadazan, Iban dan lain-lain sebetulnya tidak pernah ada rasa kekok atau janggal untuk saling menghormati antara satu sama lain.

Inilah keunikan Keluarga Malaysia yang sudah sekian lama menjadi kebanggaan kita. 

Lihat saja apa perayaan pun, tak kiralah untuk apa kaum, rakyat ikut sama meraikannya, berwarna-warni dan ceria semuanya.

Kesatuan itu sudah diterjemah melalui pelbagai cara dan terbaharu sempena sambutan Tahun Baharu Cina awal minggu depan, ada kelainan dihidangkan untuk rakyat Malaysia.

Sekumpulan penyanyi popular tanah air iaitu Ayie Floor 88, Harry Khalifah, Sarah Suhairi, Beby Acha, Lia Aziz dan Aidilia Hilda merakamkan lagu sambutan Tahun Baharu Cina itu dalam bahasa Melayu.

Memetik laporan Channel News Asia (CNA), ini merupakan kali pertama sebuah lagu asal Tahun Baharu Cina dinyanyikan dalam bahasa kebangsaan Malaysia, kata penerbit dan komposernya, Nevin Hiong.

“Ketika pemilik label rekod MVM Production menghubungi saya untuk menerbitkan sebuah lagu Tahun Baharu Cina untuk artis Melayu mereka, tidak pula beliau menyebut ia perlu digubah dalam bahasa Melayu.

“Beliau hanya menetapkan tiga syarat iaitu lagu tersebut perlu mengandungi ‘gong xi ni’, ‘dong dong qiang’ dan ‘huat ah’. Ini semua ungkapan yang biasa didengar oleh rakan-rakan Melayu kita,” kata Hiong seperti dilaporkan CNA.



Ungkapan itu bermaksud ucapan selamat Tahun Baharu Cina, merupakan mimik irama gendang dan simbol serta ungkapan Hokkien yang bermaksud kemakmuran.

“Saya terfikir, ketiga-tiga ungkapan ini adalah dalam bahasa Cina dan lagu pula akan didendangkan oleh artis Melayu.

“Jadi mengapa tidak kita gabungkan irama gaya Melayu dan instrumen Cina, dan hasilkan sesuatu yang istimewa?” katanya lagi.

Video muzik itu dilancarkan pada 7 Januari lalu dan sehingga kini ia telah menerima lebih 500,000 tontonan.

Berdasarkan komen pada video tersebut, ternyata rakyat Malaysia gembira dengan pendekatan tersebut kerana pada mereka, Malaysia adalah satu dan rakyatnya tetap bersatu.

“Terbaik! Mari kita menyambut CNY, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Gawai, dan lain lain sama sama.  Kita semua anak Malaysia dan saya menghargai anda semua - full package! Ini barulah Muhibbah ma!,” tulis Wei Lin Low.

Luah BoonKheng pula menulis:

Without the politicians, Malaysia is a very very very beautiful country (Tanpa ahli politik, Malaysia merupakan negara yang sangat sangat sangat indah.)”

Dalam video muzik tersebut, semua artis, sambil mereka memakai pakaian tradisional Cina dan Melayu, mereka menyanyikan:

“Luar kita berbeza, hati tetap kan sama. Kita bagaikan pokok, kuat pada akarnya.”

Malah, beberapa ahli kumpulan tarian singa di dalam lagu tersebut juga berbangsa Melayu, dedah Hiong.

“Niat kami asalnya untuk menerbitkan lagu Tahun Baharu Cina, namun bertukar menjadi lagu patriotik pula,” kata Hiong, mengulas sambutan luar dugaan yang diterima.