KUALA LUMPUR: Situasi COVID-19 di Wilayah Persekutuan Labuan menunjukkan trend positif apabila kes aktif di daerah itu dijangka menurun sekitar 700.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah nilai kadar kebolehjangkitan juga menurun daripada 2.0 pada minggu epidemiologi ke-20 kepada 0.86 pada Julai 2021.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, seramai 57,243 (83.57 peratus) daripada populasi dewasa di Labuan telah menerima dos pertama.

"Manakala 22,049 (32.19 peratus) telah melengkapi kedua-dua dos vaksin.

"80 peratus populasi dewasa di Labuan dijangka menerima dos vaksin kedua mereka pada hujung bulan ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan kes positif di Labuan ialah 9,002 yang.

Peningkatan kes di wilayah persekutuan itu adalah disebabkan serangan varian Delta yang mula dikesan di Labuan pada 23 April lalu.

Ini adalah lapan tindakan diambil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan dan Jabatan Peneraju serta Jabatan Kesihatan Labuan bagi mengekang penularan COVID-19 di Labuan dengan lebih berkesan:

i.​Menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan syarat kemasukan tambahan termasuk mewajibkan RT-PCR, kuarantin dan kawalan program-program ekonomi termasuk perkapalan.

ii.​Program sanitasi COVID-19 terancang di kawasan bersasar yang melibatkan saringan bersasar (active case detection).

iii.​Program pemantauan khas melibatkan kawasan-kawasan yang telah menjalani PKPD bagi memastikan kes terkawal.

iv.​Program pemantauan yang meneliti varian VOC Delta B.1.617.2, corak jangkitan, epidemiologi COVID-19 dan perancangan kawalan COVID-19 di WP Labuan.

v.​Program promosi dan pendidikan kesihatan termasuk program khas “Rumah Bebas COVID-19”.

vi.​Program penguatkuasaan bersepadu diketuai oleh pihak PDRM.

vii.​Program 'risk communication' untuk mengawal penyebaran maklumat yang boleh membawa kepada situasi panik dalam kalangan orang ramai.

viii.​Pembangunan Hospital Medan bagi menyokong perkhidmatan Hospital Labuan sedia ada.