Beban rakyat terutama yang berpendapatan rendah dilihat dapat dibela dengan pengumuman segera penurunan harga kereta berenjin 2,000 c.c ke bawah.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, kerajaan harus segera melihat isu ini kebagai keutamaan selepas penghapusan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel yang diputuskan baru-baru ini.

"Kita fikir mengenai anak-anak muda yang baru bekerja dan berpendapatan rendah dan seberhana untuk memiliki kereta.

"Ia renteten penghapusan subsidi minyak baru-baru ini. Selain kereta, harga rumah juga diharap dapat diturunkan kepada golongan sasar berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Irmohizam berkata demikian ketika ditanya suara anak muda akhir-akhir ini yang mahu kerajaan mempertimbangkan penurunan harga kenderaan selepas kerajaan memutuskan harga runcit RON95 dan diesel akan ditetapkan mengikut kaedah pengapungan terkawal, sekali gus menghapuskan subsidi bahan bakar berkenaan bermula 1 Disember ini.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menjelaskan, kerajaan perlu menetapkan mekanisme terbaik kawalan harga seandainya kenaikan harga minyak berlaku pada masa hadapan.

"Wujudkan penetapan harga akhir (siling), jika tidak rakyat sendiri akan sengsara dengan kenaikan harga minyak seandainya terjadi kelak.

"Fikir dan umumkan segera mekanisme untuk harga minyak ini, kita risau jika ia bakal membebankan anak muda terutamanya suatu hari nanti," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, pendapat itu harus dipertimbang kerajaan segera sebelum Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memanipulasi isu untuk kepentingan pembangkang.

"Seperti di Selangor sendiri, generasi muda sahaja berjumlah seramai 4.3 juta orang, banyak pandangan yang sudah diterima dan semoga kerajaan dapat memikirkan kaedah terbaik untuk menjamin pengekalan sokongan rakyat," jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari memberitahu, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, beberapa model kereta daripada jenama Peugeot, Proton, Perodua, Volkswagen dan Honda masing-masing telah menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama.

Petanda awal positif ini juga menunjukkan keikhlasan hasrat kerajaan menurunkan harga kereta sebanyak 20 hingga 30 peratus secara berperingkat sehingga 2017.