Kuala Lumpur perlu lebih banyak spesies pokok - Fahmi
Kerajaan berharap dapat mewujudkan program penanaman pokok lebih mampan melibatkan Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Faida Rahim
Sat Aug 17 2024
Fahmi Fadzil memaklumkan pihaknya berharap lebih banyak spesies pokok yang tidak biasa dilihat dapat ditanam di sekitar Kuala Lumpur. - Gambar/ Astro AWANI
LEMBAH PANTAI: Kerajaan berharap dapat mewujudkan program penanaman pokok lebih mampan melibatkan Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan pihaknya berharap lebih banyak spesies pokok yang tidak biasa dilihat dapat ditanam di sekitar Kuala Lumpur.
"Realitinya hutan-hutan di Malaysia mempunyai pelbagai spesies. Tapi bila kita tanam, kita lalu Jalan Terasek sebagai contoh, hampir semua pokoknya adalah pokok yang sama.
"Risiko bila pokok-pokoknya sama dalam sederet, kalau katalah satu pokok terjangkit penyakit, maka penyakit itu lebih mudah merebak. Kita pelbagaikan pokok-pokok yang ditanam, itu akan menjamin kesihatan ekosistem di situ," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Rewilding Lembah Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya pada Sabtu.
Dalam pada itu, pihaknya berharap Lembah Pantai dapat menjadi peneraju atau perintis dalam program seperti ini di masa akan datang.
Tambah fahmi, lebih 200 pelbagai jenis pokok telah ditanam sepanjang Jalan Ara pada 2019.