Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menerima sembilan gerabak baharu kelas perniagaan untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) bermula September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata gerabak itu akan diterima secara berperingkat iaitu satu gerabak pada setiap bulan.

"Kami akan mengadakan ujian dulu untuk setiap satu gerabak 'Business Class' yang dipasang pada setiap perkhidmatan ETS yang mempunyai lima gerabak kelas ekonomi setakat ini.

"Kami menjangkakan ia akan beroperasi pada bulan Oktober sekiranya tiada masalah selepas mengadakan ujian," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri KTMB di sini, pada Selasa.

Katanya gerabak kelas perniagaan yang mempunyai 32 tempat duduk itu akan dipasang pada semua perkhidmatan ETS iaitu Gemas-Padang Besar, Kuala Lumpur- Butterworth dan Kuala Lumpur-Ipoh.

"Kami akan mengumumkan kemudahan yang ada pada gerabak tersebut dan tambang kelas perniagaan sebelum ia beroperasi," katanya.

Rani Hisham berkata buat masa sekarang sebanyak 36 tren perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari.

"Sekiranya gerabak 'business class' itu sudah beroperasi, kami akan mempertimbangkan untuk menambah kekerapan bergantung pada 'speed' dan permintaan," katanya.

-- BERNAMA