KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan pasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden di projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), pada Rabu yang mengorbankan dua wanita.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan siasatan awal kes tersebut didapati lebih menjurus kepada kemalangan jalan raya dan ia sedang disiasat Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan, 1987.

"KSM menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku, dan sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di negara ini, termasuk dalam sektor pembinaan.

"KSM mendapati kesemua mangsa kemalangan ini layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," katanya.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan dua wanita maut, manakala dua lagi wanita serta seorang lelaki yang merupakan pemandu van tersebut cedera.

-- BERNAMA