Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mayat Ahmat Nasaruddin Muhamad, 35, dijumpai pekerja restoran sekitar 9.34 malam, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menerusi sistem MERS 999.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat. Proses pengecaman telah dilakukan oleh bapa dan isteri mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, kakak mangsa Siti Zarina Muhammad, 42, berkata walaupun sedih, dia dan keluarga lega kerana mayat adik lelaki bongsunya itu telah ditemukan.
Siti Zarina berkata mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna dengan hanya kesan luka kecil di kepala dipercayai kesan terhantuk pada objek keras ketika terjatuh.
"Arwah meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung lapan bulan dan empat anak perempuan berusia empat hingga 10 tahun," katanya.
-- BERNAMA
