KUALA LUMPUR: Kritikan terbaharu Pas mengenai penganjuran konsert bertalu-talu di Malaysia hanyalah usaha untuk menutup kelemahan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri dari parti itu yang menganggotai kerajaan Barisan Nasional  (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan.

"Walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hampir, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari harus sedar bahawa ia adalah tidak wajar bagi beliau untuk menimbulkan keresahan antara komuniti dengan menggunakan sentimen agama hanya kerana mereka ketandusan idea untuk menambah baik kualiti hidup rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Raja Ahmad turut mengutarakan persoalan sama ada parti itu akan melakukan tindakan sama untuk aktiviti menonton filem di pawagam.

"Dalam keghairahan Ketua Pemuda Pas membantah penganjuran konsert di Malaysia dalam, ingin juga saya ajukan persoalan kepada beliau, adakah pendirian ini akan berubah-ubah mengikut selera seperti mana pandangan beliau terhadap pengharaman menonton wayang?" soalnya.

Beliau turut mempertikaikan prestasi dua menteri Pas iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang didakwa merencatkan kemajuan Malaysia dari segi agenda iklim dan alam sekitar yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Sementara Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh pula seolah-olah menghilang ketika negara berdepan gangguan rantai bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang melambung tinggi," ujarnya.