SHAH ALAM:Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan sebanyak 10,000 barangan keperluan asas untuk diterbangkan ke Sabah khusus bagi membantu pihak yang terkesan akibat COVID-19 termasuk mereka yang memerlukan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kesemua barangan keperluan asas tersebut adalah hasil sumbangan daripada syarikat korporat antaranya Yayasan Sime Darby, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maxis bagi fasa pertama.

“Penghantaran fasa pertama kita telah terbangkan sebanyak 1,000 kotak barangan keperluan asas ke Sabah menerusi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, inisiatif melalui program Kembara Prihatin Negara itu memulakan sesi penghantaran di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Rina turut menggalakkan mana-mana syarikat korporat lain untuk tampil menghulurkan bantuan bagi pelaksanaan program ini.

Sebelum ini, program Kembara Prihatin Negara yang dilancarkan pada 1 November sebagai salah satu langkah kerajaan untuk membela nasib segelintir golongan yang berhadapan dengan kesulitan dalam meneruskan kehidupan.

Kembara Prihatin Negara merupakan idea oleh (KPWKM) itu akan bergerak secara mingguan dan meliputi 108 daerah di seluruh negara.

BACA: Kembara Prihatin Negara sasar 1 juta penerima bantuan