Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyuarakan kesediaanya untuk mengetuai pasukan penyiasat ke Thailand untuk menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo berhubung dakwaaan mengenai pertemuan sulit dengan seorang individu.

Individu tersebut dipercayai seorang ahli politik pembangkang dari Malaysia dan pertemuan tersebut bertujuan untuk menjual maklumat sulit.

Menurut Khalid, Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan memfokus siasatan di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur cubaan pihak menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

Namun, pihaknya masih menunggu kebenaran daripada pihak polis Thailand untuk menemubual Justo.

"Apabila polis jalankan siasatan dan apabila selesai kita akan kemukakan siasatan kepada Peguam Negara terpulang kepada mereka nak buat apa... arah tuju siasatan kita untuk merungkai hasrat beberapa pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik," kata Khalid ketika ditemui di majlis perasmiam Polis Bantuan Koperasi PDRM di Shah Alam pada Rabu.

Jelas beliau pasukan siasatan itu juga menyiasat maklumat yang didedahkan oleh pihak polis Thailand termasuk rakaman percakapan bekas pengarang, Sarawak Tribune Lester Melanyi.

Sementara itu, Khalid mengesahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) polis telah menerima segala dokumen mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada The Edge Media Group.

Sebelum ini, The Edge menerbitkan laporan mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usaha samanya, PetroSaudi International, telah menipu rakyat Malaysia berbilion ringgit.