Ringkasan AI
- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memantau ketat penjaja di luar kawasan sekolah untuk menjamin keselamatan murid. JPN dan pihak sekolah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah tidak berlaku.
- Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah memberi kesedaran kepada murid dan ibu bapa mengenai membeli makanan di tempat yang betul untuk mengelakkan insiden seperti kanak-kanak tercekik gula-gula gummy. Kantin sekolah di bawah seliaan KPM tidak menjual gula-gula gummy.
- Seorang murid meninggal dunia selepas tercekik gula-gula gummy. KPM memandang serius isu ini dan memastikan langkah pencegahan diambil. KPM juga bersedia bekerjasama dengan KKM dalam aspek pencegahan penyakit berjangkit jika perlu.
Beliau berkata JPN dan pihak sekolah juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan agar penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah tidak berlaku.
Azman berkata pada masa sama, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memberi kesedaran kepada murid dan ibu bapa berkaitan membeli makanan di tempat yang betul.
Kesedaran itu, katanya penting supaya insiden kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy tidak berulang.
"KPM melihat ini (insiden) sebagai keutamaan agar perkara sedemikian tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini hari ini.
Beliau berkata kantin sekolah di bawah seliaan KPM tidak menjual makanan seperti gula-gula gummy, malah gula-gula itu tidak boleh dijual seperti yang diwartakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Malam tadi, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia kira-kira 11 malam di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas didakwa tercekik gula-gula gummy pada Selasa lepas.
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata KPM setakat ini tidak menerima maklumat daripada KKM berhubung keperluan pencegahan susulan wabak kusta di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau berkata isu berkaitan wabak penyakit berjangkit dipandang serius dan sentiasa bersedia bersama KKM dalam aspek pencegahan sekiranya perlu.
-- BERNAMA
