PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini menubuhkan pasukan "Duta Online" untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.


Ringkasan AI
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan pasukan "Duta Online" untuk menyampaikan maklumat sahih dan menangkis fitnah terhadap kerajaan.
  • Seramai 200 kakitangan KPKT dipilih sebagai Duta Online untuk menyebarkan maklumat dengan cara yang mudah difahami rakyat menggunakan kreativiti dan media sosial.
  • Nga Kor Ming menekankan kepentingan menyebarkan pencapaian negara, seperti Malaysia yang diiktiraf sebagai negara ke-10 paling aman di dunia, sebagai bukti keberkesanan dasar kerajaan MADANI.


Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata pasukan itu akan menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat.

Beliau berkata seramai 200 kakitangan KPKT telah dipilih sebagai Duta Online berkenaan.

"Sentuhan maya ini diwujudkan untuk membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan polisi kerajaan dengan lebih efektif," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Bengkel Sentuhan Maya KPKT di sini hari ini.

Nga turut menggalakkan ahli-ahli pasukan Duta Online untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan tidak membosankan.

"Dalam era digital ini, media sosial memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat. Video pendek, siaran langsung dan pelbagai platform boleh digunakan sebagai medan menyelaraskan maklumat kerajaan supaya rakyat berdiri teguh bersama mendukung aspirasi Malaysia MADANI," katanya.

Beliau percaya bahawa dengan kreativiti, maklumat yang benar dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik perhatian masyarakat.

Sebagai contoh, Nga berkata pencapaian Malaysia yang dipilih sebagai negara ke-10 paling aman di dunia serta ketiga di Asia-Pasifik dalam Indeks Keamanan Dunia baru-baru seharusnya mendapat liputan meluas.

Beliau berkata ini kerana pada tahun lepas, Malaysia berada di tangga ke-19 keseluruhan dalam Indeks Keamanan Dunia.

Menurutnya antara faktor utama kejayaan itu adalah dasar kerajaan MADANI yang inklusif, meraikan kepelbagaian dan sentiasa bersikap prihatin.

-- BERNAMA