PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengeluarkan syor harga siling kos upah bagi kerja membajak dan menuai padi yang mengambil kira harga diesel semasa, berkuat kuasa esok.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga siling kos upah per relung bagi jentuai di Kedah dan Perlis ialah RM180, RM120 bagi upah membajak musim pertama serta masing-masing RM110 bagi upah membajak musim kedua dan ketiga.

Bagi Kelantan dan Terengganu, harga siling kos upah per ekar bagi jentuai ialah RM13 per guni, manakala upah membajak bagi musim pertama pada RM170, RM140 (musim kedua) dan RM130 bagi musim ketiga.

Menurut KPKM, bagi pengusaha swasta di Selangor dan Perak pula, harga siling kos upah per hektar bagi jentuai ialah RM100 per tan metrik, RM200 bagi upah membajak musim pertama serta masing-masing RM180 bagi musim kedua dan ketiga.

"Pengesyoran jadual harga siling kos upah ini sebagai panduan kepada pemain industri khususnya di Semenanjung Malaysia.

"Sehubungan itu, komitmen dan kerjasama pemain industri adalah penting bagi memastikan proses pendaftaran semua jentera pembajakan dan penuaian dapat dilaksanakan dengan kadar segera," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, harga siling kos upah berkenaan antara dua syor KPKM sebagai langkah intervensi bagi menangani peningkatan kos operasi jentera dan kos upah dalam rantaian aktiviti penanaman padi.

KPKM turut mengesyorkan langkah intervensi jangka masa panjang melalui pelaksanaan pendaftaran jentera pembajakan dan penuaian di lapangan bagi kajian dan penelitian program bantuan bersasar yang bersesuaian.

Syor berkenaan dicapai menerusi sesi libat urus kementerian itu bersama penyedia perkhidmatan mekanisasi pembajakan dan penuaian yang diadakan hari ini bertujuan mendapatkan maklum balas pasaran terhadap kos upah yang lebih relevan dan tidak membebankan pesawah.

"Sesi libat urus ini diadakan susulan pelaksanaan pengapungan harga diesel oleh kerajaan baru-baru ini," menurut kenyataan itu.

Pada 31 Mei lepas, kerajaan mengumumkan pengapungan harga minyak diesel susulan penyasaran subsidi diesel sebagai antara mekanisme membasmi aktiviti ketirisan melibatkan subsidi bahan api berkenaan.

Kerajaan turut memperkenalkan BUDI MADANI bagi memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak iaitu terbahagi kepada bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil komoditi (BUDI Agri-Komoditi) dan kenderaan awam serta pengangkutan barangan terpilih (BUDI MySubsidi Diesel).

-- BERNAMA