Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak merampas 105 helai jersi tiruan pasukan bola sepak Sarawak yang dijual di sekitar Serian.

Timbalan Pengarah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Sarawak, Abd Hafidz A. Rahim berkata, rampasan pada Rabu itu dibuat setelah mendapat maklumat dari penyokong setia pasukan bola sepak negeri itu.

KPDNKK juga percaya premis perniagaan yang diserbu turut menjadi pembekal kepada pihak lain bagi dijual di sekitar kawasan berdekatan.

Kebanyakan jersi tiruan yang dirampas dijual dengan harga yang lebih murah bermula dengan harga RM7.50 sehelai dan ianya diyakini boleh menjejaskan hasil jualan jersi asli.

Kesemua jersi berkenaan disita di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan sekiranya didapati bersalah, untuk satu helai jersi denda maksimum tidak lebih RM10,000 atau tiga tahun penjara.

Manakala premis berkenaan turut berhadapan denda lebih RM1 juta ringgit atau tiga tahun penjara bagi 105 unit jersi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan jersi tiruan disaran melaporkannya kepada KPDNKK.