Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan sedang dalam peringkat perbincangan mengenai mekanisme baharu subsidi petrol bersasar bersama pihak-pihak berkepentingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan tersebut mengambil kira implikasi kewangan kepada kerajaan, selain memastikan sistem pemberian subsidi itu dapat dilaksanakan dengan cekap.

"Saya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat merangka satu mekanisme setelah meninjau aspek-aspek tersebut serta meneliti kumpulan yang benar-benar layak untuk mendapat subsidi itu.

"Aspek yang diambil kira dalam menentukan kelayakan itu antaranya paras pendapatan atau jenis kenderaan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan, di sini hari ini.

Selain menyasarkan golongan berpendapatan terendah (B40), katanya kementerian turut mengambil kira kesan pelaksanaan mekanisme baharu itu kelak kepada golongan pertengahan (M40).

"Saya juga ingin melihat perbahasan rakyat mengenai idea (mekanisme) ini, jadi saya harap perdebatan mengenainya rancak di luar kerana sekurang-kurangnya ia memberi petunjuk kepada kerajaan untuk membuat keputusan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution berkata rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya adalah petrol RON95 yang bersubsidi manakala 10 peratus lagi RON97.

Katanya antara cadangan yang dibincangkan termasuk tidak memberikan petrol bersubsidi kepada golongan berpendapatan teratas (T20) dan M40 yang menggunakan kenderaan mewah.

"Misalnya mereka yang bawa Mercedes, BMW atau yang cc 2.0, 2.5 atau 3.0. Kita akan beri kepada B40 dan juga rakyat yang membawa kenderaan cc kecil yang benar-benar memerlukan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata kementerian turut berbincang dengan syarikat dan pengusaha stesen minyak bagi memastikan sistem sedia ada yang diguna pakai di stesen-stesen minyak bersesuaian dengan mekanisme yang akan ditetapkan kelak.

"Ini kerana, bukan semua stesen minyak bertaraf servis penuh terutamanya di kawasan pedalaman yang kebanyakannya adalah stesen minyak mini," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah dilaporkan sebagai berkata kerajaan dijangka mengumumkan mekanisme baharu subsidi petroleum selewat-lewatnya awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata KPDNHEP sedang mempertimbangkan untuk menaikkan had setiap tuntutan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) daripada RM25,000 kepada RM50,000.

Katanya langkah itu diambil memandangkan kos barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat ketika ini.

Sejak ditubuhkan pada 15 Nov 1999 sehingga September lepas, katanya jumlah pemfailan kes TTPM adalah sebanyak 100,533 melibatkan jumlah kerugian bernilai lebih RM152 juta.

-- BERNAMA