SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan dengan kerjasama polis menyita 7,200 liter barang kawalan bersubsidi bahan api diesel menerusi Op Tiris ke atas sebuah premis di Site C Tanah Merah, Port Dickson, dekat sini semalam.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu, pihaknya turut merampas dua lori, sebuah lori tangki, telefon bimbit serta peralatan yang digunakan untuk aktiviti penyelewengan itu dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM195,480.

"Pemeriksaan ke atas premis mendapati terdapat dua lelaki tempatan dipercayai pekerja sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel bersubsidi dari tangki kepala lori ke dalam tangki lori treler.

"Lelaki berkenaan kemudiannya ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian bekalan minyak diesel bersubsidi yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus menggerakkan penguatkuasaan selain tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel yang mempunyai kepentingan kepada awam.

-- BERNAMA