PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris dalam serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan minyak diesel, awal pagi hari ini.

Dalam serbuan pada kira-kira 4 pagi itu, dua lelaki yang berada di dalam premis berkenaan dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel termasuk seorang warga tempatan yang mengaku sebagai pemandu lori, ditahan.

Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata pasukan serbuan menemukan minyak diesel berjumlah 11,000 liter, beberapa tangki kosong dan berisi minyak diesel, sebuah lori, serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel di premis berkenaan.

"Pihak premis juga gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung kebenaran untuk berurusan berkaitan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata minyak diesel, lori, beberapa dokumen serta peralatan lain yang ditemukan di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM53,550.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperoleh dan diedarkan," katanya.

Syarikat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel, katanya.

Mengenai Ops Tiris, yang dilancarkan bagi membanteras penyelewengan diesel bersubsidi, dalam tempoh 1 Mac hingga 15 Mac, Azman berkata sebanyak 1,954 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 47 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.07 juta.

-- BERNAMA