Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di Facebook mendakwa sebuah kedai makan di Changlun menjual gulai kambing pada harga 'kayangan'.
Beliau berkata sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Cawangan Kubang Pasu telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit pada 11 pagi semalam dan didapati kedai yang dimiliki wanita tempatan berusia 40-an itu ada menyediakan menu yang turut mempamerkan harga.
Menurut Muhammad Nizam, kedai berkenaan diberi NB di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta perlu mengemukakan maklumat mengenai kos penyediaan dan jualan gulai kambing itu dalam tempoh enam hari bekerja.
"KPDN memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang tidak munasabah dan pengguna juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak harga sebelum membuat pembelian.
"Ini adalah kerana Akta Perlindungan Pengguna 1999 memberikan hak kepada pengguna untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barangan termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan," katanya dalam kenyataan malam ini.
Sebarang aduan mengenai premis yang menjalankan perniagaan secara tidak beretika boleh disalurkan menerusi portal e-aduan 2.0 http://e-aduan.kpdn.gov.my atau talian 1-800-886-800.
-- BERNAMA