Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian itu bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menjalankan Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan yang turut melibatkan ayam segar, dan hasil kajian itu bakal dibentangkan bulan ini.
Beliau berkata, semua pihak terutama pemimpin politik diminta tidak hanya bercakap tanpa sebarang asas yang kukuh, dan disaran menyalurkan segala maklumat mengenai situasi harga ayam itu kepada KPDN bagi membolehkan penyiasatan terperinci dilakukan.
"Kalau ada maklumat berkaitan harga di sini, dalam tempoh sejam kita akan siasat, dan jika ada elemen pencatutan kita ambil tindakan. Cuma harga berbeza di Sabah, Sarawak dan Semenanjung bukan isu baharu, ia terjadi sejak sekian lama.
"Kami tidak menafikan dalam isu ini cuma apa solusinya, saya pimpin KPDN mahu cari solusinya untuk kesenangan rakyat kita. Kita tidak mahu bercakap kosong, kita mahu penyelesaian jangka panjang berkesan dengan dipacu data, dan kajian mendalam dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Kinarut Palm City, Kinarut, di sini, pada Ahad.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dilaporkan berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah serius berhubung isu harga barang makanan terutama ayam segar.
Bung Moktar mendakwa, harga ayam segar dijual di Semenanjung sekitar RM7 hingga RM9 untuk satu kilogram, berbanding di Sabah antara RM12 hingga RM16.50.
Armizan berkata, mencari solusi berkaitan isu berkenaan bukan tanggungjawab KPDN semata-mata, malah perlu kerjasama semua pihak terutama kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan barang makanan terutama ayam segar sentiasa stabil.
Beliau berkata, kerajaan sebelum ini telah membelanjakan RM300 juta untuk pemberian subsidi bagi menstabilkan harga beras putih import di Sabah dan Sarawak, seterusnya membolehkan harga barangan itu diperoleh lebih rendah berbanding Semenanjung.
Kerajaan juga mengekalkan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi membolehkan rakyat membeli barangan itu dengan harga lebih murah berbanding Semenanjung.
"Ini yang telah dilakukan kerajaan. Kalau cakap kerajaan tidak buat apa-apa itu tidak betul. Kalau ada jumpa sekian-sekian harga tolong saya dapatkan spesifik di mana, kita akan hantar penguat kuasa untuk siasat," katanya. - BERNAMA