KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini di peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek rintis berkenaan yang dijangka menyelamatkan peruntukan subsidi minyak kerajaan kemudiannya akan disusuli di Kedah, Perak, Sarawak, Sabah serta Johor.

Jelas beliau, projek pembekalan petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi di bawah inisiatif Program Ekonomi Sempadan itu ketika ini dilaksanakan di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.

“Laporan awal mendapati bahawa data jualan bahan petroleum bersubsidi menunjukkan penurunan sebanyak 13.2 peratus bagi diesel dan 15.7 peratus bagi RON95 di 38 buah stesen minyak di Perlis untuk tempoh dua bulan pertama.

“Jumlah penjimatan subsidi kerajaan adalah sekitar RM5 juta. Dua stesen minyak tanpa subsidi di Perlis tersebut mengalami peningkatan jualan sebanyak 14.7 peratus bagi diesel tanpa subsidi dan 43.27 peratus bagi RON95 tanpa subsidi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) bilangan 3 bagi tahun 2023.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata hasil libat urus KPDN bersama agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) mendapati bahawa aliran trafik kenderaan asing adalah tinggi terutama di bahagian utara Semenanjung.

Beliau menambah sebanyak 6,095 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga 15 Mei lalu, merangkumi stesen minyak, pemborong, pengilang, kuari, pos kawalan dan lain-lain premis.

“Sejumlah 183 kes (termasuk 75 kes serahan agensi) telah dihasilkan melibatkan stesen minyak, rumah, pemborong, kuari, bengkel kenderaan dan lain-lain dengan nilai rampasan sejumlah 2,262,434 liter minyak diesel dengan keseluruhan dianggarkan bernilai RM4,933,692.

“Seramai 124 orang warganegara tempatan dan 39 orang warganegara asing yang menjadi jumlah keseluruhan 163 orang yang ditahan sepanjang tempoh yang sama pelaksanaan Ops Tiris ini,” ujar Ahmad Zahid lagi.