Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, buat sementara waktu, sekiranya pemborong dan peruncit yang dilantik di mana-mana daerah terjejas, daerah terdekat yang tidak terkesan dengan situasi banjir akan membantu menghantar bekalan barangan kawalan.
"Setakat ini, setiap daerah mempunyai pemborong dan peruncit yang dilantik untuk menyimpan barangan kawalan. Sekiranya ada yang terjejas disebabkan banjir, bekalan akan disalurkan daripada pemborong dan peruncit terdekat yang tidak terkesan banjir.
"Ini sudah dilaksanakan ketika bah besar pada 2014. Jika keadaan banjir masih berterusan dan menyebabkan seluruh negeri lumpuh, kita akan memohon bantuan dari negeri lain secara terus di Pangkalan Subang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, KPDN Kelantan telah melantik 133 pemborong dan peruncit untuk menyimpan barangan kawalan melebihi kuota bagi menghadapi musim tengkujuh di negeri ini.
Menerusi laporan itu, Azman berkata, mereka dibenarkan untuk menambah dan menyimpan barang kawalan berjadual sebanyak 30 peratus selama lima bulan bermula November lalu sehingga Mac depan.
Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya akan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk mempertingkatkan kerjasama dengan agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Majlis Keselamatan Negeri serta pejabat jajahan untuk mengetahui status terkini.
"Selain maklumat daripada pemborong dan peruncit yang dilantik, kami turut menjalin kerjasama dengan beberapa agensi terlibat untuk memantau keadaan semasa di negeri ini, termasuk membabitkan bekalan barangan kawalan," katanya.
"Malah, kami berharap rakyat negeri ini tidak mudah panik berhubung bekalan barangan, dan pihak KPDN akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan barangan kawalan mencukupi sepanjang musim banjir untuk kegunaan rakyat Kelantan," katanya. - BERNAMA