Sektor korporat disaran menjadikan universiti-universiti dan sekolah sebagai 'anak angkat' untuk melahirkan graduan-graduan usahawan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, beliau yakin langkah itu akan membolehkan sasaran negara melahirkan lebih ramai graduan usahawan yang boleh menjana peluang pekerjaan tercapai.

"Harapan saya sektor swasta dan korporat yang mempunyai pengalaman dan kemahiran keusahawanan akan membantu kami dengan menjadikan universiti dan sekolah sebagai anak angkat," kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Ahli Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Negara (MKPTN) di sini hari ini.

Seramai 15 orang termasuk mereka daripada kalangan ahli korporat dan perniagaan dilantik menganggotai MKPTN bagi satu tempoh selama dua tahun (2019-2020).

Anggota MKPTN terdiri daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Datuk Norhalim Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood; Pengerusi Airasia dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Group, Datuk Kamarudin Meranun dan mantan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar.

Ahli Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Negara (MKPTN). - Foto Kementerian Pendidikan

Anggota lain terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank Malaysia, Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz YM Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Nelson Franchise (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Nelson Kwok Teng Toong; Pengarah Urusan Dc&A Group Sdn Bhd, Datuk David Chua; Presiden Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati), Dato’ Azlin Ahmad Shaharbi; Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Ali Hassan Mohd Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE Sdn Bhd, Khairil Adri Adnan; Pengarah Urusan Animonsta Studios, Mohd Nizam Abdul Razak; Co-Founder Thelorry.Com, Nadhir Ashafiq; Ketua Pegawai Eksekutif Saora Industries, Ganesh Muren dan Ketua Pegawai Eksekutif Center For Research, Advisory & Technology (CREATE), Ng Yeen Seen.

Daripada 15 anggota itu, lima orang anggota dilantik semula iaitu Norhalim; Yasmin, Nelson Kwok, David Chua dan Ali Hassan.

Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap dengan kepakaran dan idea yang dimilik oleh ahli MKPTN dapat melahirkan lebih ramai graduan yang bukan sahaja berjaya di dalam bidang keusahawanan tetapi juga dapat melengkapkan diri dengan ilmu manusiawi iaitu kasih sayang, kegembiraan dan hormat-menghormati.

MKPTN telah ditubuhkan pada 15 Mac 2011 dengan objektif membantu KPM meningkatkan usaha dan memantapkan pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Pembangunan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 dan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2016-2020.

Majlis itu akan bertindak menyelaras dan mengawal selia pembangunan serta pendidikan keusahawanan di IPT bagi memastikan ia selari dengan dasar dan polisi kerajaan dalam usaha untuk melahirkan graduan holistik, seimbang dan berciri keusahawanan unggul.

Selain itu, MKPTN turut terlibat secara langsung dalam program dan aktiviti keusahawanan KPM, antaranya, penganjuran Ministry of Education Entrepreneurial Awards (MEA) yang bertujuan untuk mengiktiraf IPT dan warganya yang cemerlang dalam aktiviti keusahawanan.

Ministry of Education Entrepreneurial Awards (MEA) akan berlangsung malam ini.