Koronavirus: Terperangkap di Wuhan satu pengalaman pahit - Pelajar Malaysia

Angelina Sinyang
Februari 4, 2020 18:13 MYT
Balachandar Subramaniam bersyukur dapat pulang ke tanahair dengan selamat. - Foto ihsan Borneo Post.
"Pengalaman ketika berkurung di bandar Wuhan tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata sebaliknya ianya satu pengalaman yang tidak perlu dirasai oleh sesiapa,”.
Itu luahan rasa Balachandar Subramaniam, pelajar Malaysia yang selamat tiba di tanahair bersama isteri dan duanya selepas terkandas di wilayah Hubei akibat perintah berkurung keluar dari bandar Wuhan, China akibat wabak koronavirus.
Beliau yang melanjutkan pengajian di Wuhan antara 107 individu yang berjaya dibawa pulang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia.
Balachandar, bersama seorang lagi rakyat Sarawak yang merupakan pelajar tahun kedua Universiti Geosains di Wuhan, Ivan Yao, 22, selamat tiba di Kuala Lumpur pagi Selasa.
Mengulas lanjut, pejawat awam Sarawak itu memberitahu, sepanjang terperangkap, setiap hari beliau berdoa agar dapat pulang ke tanahair dengan selamat.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Angka korban lebih 400 di seluruh dunia
“Perkara utama sering bermain di fikiran masa itu ialah saya dan keluarga dapat pulang ke tanahair.
“Saya rasa amat tertekan kerana setiap hari ada sahaja peningkatan kes jangkitan dan kematian dilaporkan. Syukur akhirnya kami dapat keluar dari situasi itu dan semuanya sudah berakhir,” katanya ketika dihubungi di sini.
Semua rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.57 pagi kini terpaksa melalui arahan kuarantin selama 14 hari di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
#Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi #Balachandar Subramaniam #Bandar Enstek #China #HADR #Ivan Yao #KLIA #koronavirus #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana #Wabak koronavirus #Wilayah Hubei #Wuhan
;