Koronavirus: Satu lagi kes baharu di Malaysia, mangsa wanita 59 tahun dari Wuhan, China
Astro Awani
Februari 7, 2020 15:38 MYT
Februari 7, 2020 15:38 MYT
Seorang pelancong wanita dari Wuhan, China yang berkunjung ke Malaysia disahkan positif wabak koronavirus.
Kes terbaharu yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang positif wabak yang membimbangkan itu di Malaysia berjumlah 15 kes.
Menurut Dr Dzulkefly, wanita berkenaan berusia 59 tahun bersama-sama suami, anak lelaki dan menantunya tiba di Singapura pada 17 Januari lalu.
Wanita tersebut bersama keluarganya, kata Dr Dzulkefly, berkunjung ke Johor Bahru empat hari kemudian dan banyak menghabiskan masa di tempat penginapan.
"Beliau mula mengalami gejala demam pada 26 Januari 2020. Beliau tidak mendapatkan rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan dan hanya mengambil ubat demam yang dibeli anaknya dari farmasi berhampiran tempat penginapannya," kata beliau dalam sidang media di pejabatnya pada Jumaat.
Mangsa berkenaan, ujar Dr Dzulkefly, dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari 2020 dengan menaiki
penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou, tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat.
Wanita tersebut dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari dengan menaiki penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou tetapi menangguhkannya kerana kurang sihat.
Pada 5 Februari, Pihak Pejabat Kesihatan Daerah telah menerima pemakluman dari pihak pengurusan tenpat penginapannya dan dirujuk ke hospitak pada hari sama.
“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 6 Februari.
“Beliau kini telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil. Suaminya yang berusia 66 tahun juga diletakkan di wad isolasi hospital yang sama.
“Beliau (suami wanita tersebut) bagaimanapun tidak bergejala. Sampel telah diambil dan menunggu keputusan makmal,”katanya pada sidang media harian situasi terkini jangkitan 2019-nCoV.
[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus: Lebih 600 maut di seluruh dunia
Dengan pertambahan satu kes baharu, jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan sehingga Jumaat adalah 15 kes.
Tujuh kes melibatkan pesakit dalam siasatan (PUI), enam kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.
Daripada jumlah tersebut, sebelas 11 kes adalah warganegara China dan empat orang adalah warganegara Malaysia.
#China
#Dzulkefly Ahmad
#Guangzhou
#Johor Bahru
#kes baharu di Malaysia
#koronavirus
#Malaysia
#Menteri Kesihatan
#Singapura
#Wuhan